Antologi?

Tuesday 25 June 2013


Bismillahirrahmanirrahim….

Terkilan sejenak semasa melihat filem Jackie Chan zaman 80-an dulu iaitu Wheels On Meals. Dalam babak perbualan dengan Sylvia, seorang gadis Sepanyol, dengan nada yang melankolik, Sylvia cuba membela dirinya yang dicop sebagai pencuri.
“Kalau diberikan peluang tiada manusia yang ingin membuat kerja jahat”, manik-manik putih mulai jatuh membasahi pipi.
Ustazah Fatimah Syarha pula dalam artikelnya turut menimbulkan satu persoalan antara baik dan jahat. Kalau ditanya apakah cita-cita setiap orang semasa kanak-kanak, mesti ada pelbagai jawapan.
“Saya nak jadi askar cikgu”.
“Saya nak jadi perdana menteri”.
“Saya nak jadi doktor”

Tapi tiada pula yang akan menjawab bahawa dia ingin menjadi  seorang pencuri, penyamun ataupun perasuah. Pelik bukan manusia? Dilahirkan dengan fitrah yang suci bersih, namun ada juga yang tercemar dengan habuk-habuk dan daki-daki syaitan. Bagaimana mereka memandang kehidupan ini?

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ [٦٧:٢]
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun, (Al-Mulk: 2)

Payah sebenarnya untuk menerima bahawa inilah kehidupan. Iaitu sebuah perjalan yang penuh dengan ujian yang bakal membersihkan atau mengotorkan lagi kita. Perjalanan yang bakal meningkatkan ukuran IPU batiniah mahupun sebaliknya. Semakin berjerebu ataupun semakin segar dunia batinmu. Ya. Inilah coretan sebuah perjalanan menuju akhirat yang kekal abadi.

Para embaca yang dikasihi Allah dan setiap hambaNya.
 Banyak sebenarnya, coretan perjalanan hidup saya yang terbuku untuk dikongsikan sebagai bahan tarbiah untuk kita semua. InsyaAllah, dengan pertolongan Allah saya akan berusaha. Saya tersenyum sendiri bila ada sahabat yang bertanya tentang nama ‘facebook’ yang agak pelik. Secara ringkasnya, saya mahu memandang kehidupan ini sebagai satu antologi yang bakal kita persembahkan kepada Allah di akhir hayat nanti. Ya. Sebuah antologi.

Antologi ini ialah catatan kehidupan sebagai seorang abdullah, khalifah, dai’.
Perjalanan ini terlalu indah bagi mereka yang berhati emas,
Kerana hati itu selalu memandang pada hikmah, kecantikan dan keindahan dalam setiap ketentuan Allah,
Hakikatnya itulah ‘bayang’ kehidupan yang kerapkali kabur di mata manusia
Meskipun bayang ialah pendamping setiap sesuatu,

Kita sentiasa melihat sesuatu objek itu ada bayangnya namun pernahkah kita memandang hikmah di sebalik setiap kejadian?


Kita melalui perjalanan kehidupan dengan membawa satu antologi yang bakal dipersembahkan kepada Allah kelak.
Perjalanan mengisi antologi ini pasti penuh dengan ujian,

Kita hanya mampu bersabar,
Terus bersabar,
Dan tetap bersabar,
Sebagai hamba, pohonlah kekuatan kesabaran itu daripada Allah.



Sudah agak lama saya tidak menulis artikel dari sidang editor. Sejak saya memulakan penulisan yang terhenti lama dalam blog ini, saya kerap menulis bingkisan-bingkisan untuk dimuatkan dalam antologi Jentayu saya sendiri. Maka terjawablah persoalan tentang penulisan yang asyik menyebut nama Jentayu. Saya sebenarnya tertarik dengan gaya penulisan Tuan Man Tuan Ibrahim yang kerap membawa cerita yang santai namun sarat dengan pengajaran yang insyaAllah menyentuh hati secara tidak sedar. Ayat terakhir beliau hanyalah senyum pada setiap penulisan. Malahan, saya sendiri senyum seorang diri setelah membaca artikel beliau. Atas nasihat Ustaz Amaluddin Mohd Napiah dalam buku beliau Syurga Merinduimu, saya amat terkilan dengan kata-kata beliau yang menyuruh kita berkongsi hidayah yang Allah anugerahkan kepada kita dengan orang lain. Jazakallhukhoiron ustaz. InsyaAllah saya akan istiqamah dalam penulisan blog ini.

YA! Hidayah perlu dikongsikan.


Drama jentayu

Wednesday 5 June 2013


Dunia jentayu kali ini ibarat pentas lakonan yang mungkin ada kena mengena dengan watak-watak manusia yang masih hidup ataupun sudah mati.

Tirai dinaikkan….
Perlu diingatkan bahawa jalan kehidupan mencari cahaya di akhir zaman ialah jalan hidup org asing (ghuraba)....

Kelihatan seekor jentayu sedang menunggu di tepi jalan kehidupan yang lurus yang mana destinasinya hanyalah kampung akhirat. Hanya jalan itu yang ada. Tidak ada jalan lain lagi di bumi bertuah kelahiran jentayu ini. Namun jentayu berjenama ghuraba itu tetap setia menunggu kehadiran teksi untuk dimudik, dipandu, ataupun dikayuh. Aneh sekali kerana jentayu-jentayu memerlukan kenderaan waima dilahirkan dengan kudrat dari sayapnya yang kental menempuh pawana kencang di angkasa biru yang melangit tinggi.

Perlu diigatkan sekali lagi bahawa ini pentas jentayu berjenama ghuraba

Satu demi satu teksi berlalu melintasi pandangan jentayu. Hanya teksi yang ada atas pentas kehidupan dalam perjalanan itu. Mahu tidak mahu, jentayu perlu berada atas pangkuan teksi agar perjalana ke kampung akhirat bertemu noktahnya. Tapi, acap kali jentayu menangguh perjalanan itu.

Tidak dibimbangi jika buku usianya bertemu ruas mautnya yang termaktub sudah pada qada qadar Allah. Itulah sikap jentayu itu

Tidak mahu berkorban untuk mendapatkan perkhidmatan teksi itu. Itulah perangai jentayu itu.

Sehingga perjalanan menuju kampung akhirat itu tiada kenderaannya, beribu sesalan mula menerjah. Mungkinkah jentayu itu kita?




Konsepnya mudah iaitu teksi itu umpama hidayah yang datang berkali-kali mengetuk pintu hati kita namun yang menyedihkan jarang antara kita yang sanggup berkorban untuk mendapatkan hidayah itu. Inilah analogi yang kerap dibawakan atas pentas kehidupan manusia. Namun kita sering sahaja bersikap seperti watak jentayu di atas. Bertangguh dan terus bertangguh untuk patuh akan hidayah yang telah diberikan.
Lemahkah jentayu itu?

Bukankah ia telah dikurniakan kekuatan mergastua oleh Allah?

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ [١٦:٣٠]
Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa(16:30)


Nota kaki: ana banyak bertangguh untuk melakukan perkara yang baik termasuklah menambah penulisan dalm blog ni. Beduk hati telah berkali-kali diketuk hidayah. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk sampai ke destinasi kampung akhirat. Perlu berkorban untuk membayar harga hidayah taufik dari Allah yang sememangnya mahal. Tiada kos lepas kerana kampung akhirat ialah prioriti dan bukannya barang kedua terbaik yang boleh dijadikan sebagi kos lepas(cikgu rokiah).