Cermin sekeping: Kanan nampak lain, kiri nampak lain.

Wednesday 30 October 2013

Semua yang berlaku atas kehendak Allah.....

Allah Maha Melihat sama ada kita sabar, redha atau sebaliknya.

Ya Allah, setiap yang engkau takdirkan itu tidak pernah silap....


Cermin hanya sekeping, tapi apabila dipandang di sisi berlainan, maka pandangan terhasil pun lain.
 Kehidupan pula dipandang dengan mata hati nurani ataupun mata fizikal. Ayat yang memang tipikal dialunkan.

Perjalanan hidup ini merentas pelbagai sudut. Kadang-kadang sebagai seorang pelajar, sahabat, suami, isteri, anak, abang, adik, kakak, sepupu, pemain, pelakon, pelukis mahupun seorang guru, menteri.

Letakkanlah keyakinan kita bahawa semua itu sebagai perjalanan untuk mendekatkan diri kita lagi kepada Allah. Segala kesukaran sebagai kaffarah dosa, ujian kesabaran.

Satu lagi ayat tipikal tapi payah untuk masuk menjadi kesedaran dalam jiwa. Apatah lagi untuk masuk ke dalam jiwa pelajar yang hilang arah tuju kerana mengejar pencapaian berbanding kecemerlangan pelajaran yang dinilai dan dipandang oleh Allah. Ya, kita kerap mencari penghargaan manusia daripada penghargaan daripada Allah.

Berbicara pasal isu kenaikan harga gula, GST, isu tuntutan untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR).

Kita yakin, perjalanan untuk mendekatkan diri kepada Allah menuntut penilaian yang holistik terhadap sesuatu perkara.

 Kenapa perlu menuntut keadilan?
Kenapa perlu tegas dengan pendirian hidup berlandaskan islam?
Kenapa perlu menegur tindaan berbaur kezaliman?

Kenapa dan kenapa lagi.....
Perlu ditanya, difikir, direnung
Kembali pula mengaudit diri....


"kadang-kadang kita mahu mendidik orang lain, tapi kadang-kadang Allah jadikan itu sebagai teguran untuk mendidik diri kita"

"melihat kehidupan ini sebagai kebersamaan dengan Allah"

Cermin untuk dipandang. Juga untuk menilai diri.

Senyum.

Madah berbisik #1

Monday 30 September 2013

Golongan rasul yang digelar ulul azmi sperti yang kita tahu ialah seramai lima orang,

Nabi Ibrahim AS
Nabi Musa AS
Nabi Nuh AS
Nabi Isa AS
Dan Nabi Muhammad SAW....

Taraf ulul azmi yang dianugerahkan oleh Allah ini ialah kerana mereka lebih banyak diuji berbanding para rasul yang lain. Cuba kita bayangkan sejenak. Para rasul yang lain ada yang digergaji dua, difitnah, dipenjara didustakan, diejek, dihina namun hanya lima orang sahaja yang diangkat ke tahap Ulul Azmi. Maka, menurut perkiraan akal yang waras, sudah tentu ujian yang dilalui oleh lima orang rasul Ulul Azmi lebih sukar jika hendak dibandingkan dengan diri kita manusia biasa.

Betul?

Nabi Ibrahim diuji dari muda lagi. Berhadapan dengan kaumnya yang menyembah berhala, dibakar oleh Raja Namrud, terpaksa meninngalkan Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail AS di tengah padang pasir dan bermacam-macam lagi.

Di sebalik kisah yang tersurat itu, tergamam sebentar akan seorang watak yang Allah wujudkan bersama dalam kisah Nabi Ibrahim AS. Isteri keduanya, Sayyidatina Siti Hajar. Beliau hanyalah seorang hamba yang dihadiahkan kepada Nabi  Ibrahim AS.

Siti Hajar begitu tabah setelah Allah memerintahkan suaminya Nabi Ibrahim AS supaya meninggalkannya di tengah padang pasir bersama anak mereka Nabi Ismail AS yang masih kecil. Tiada keluhan yang dilontarkan. Tiada jua Siti Hajar meraung.

Berimaginasi sejenak. Cuba kita letakkan diri kita di tempat Siti Hajar yang dibiarkan seorang diri bersama anaknya di tengah padang pasir.

Bagaimana kita mahu teruskan hidup?

Apa yang Siti Hajar buat?

Siti Hajar berusaha mencari sumber air ketika kehabisan sumber air. Ditambah pula dengan keadaan Nabi Ismail As yang menangis kehausan. Tanpa berputus asa, Siti Hajar berusaha mencari sumber air. Siti Hajar mundar-mandir antara Safa dan Marwah. Sehinggalah akhirnya, pertolongan Allah itu datang dengan terpancarnya air zamzam.

Walaupun ditinggalkan keseorangan, Siti Hajar tetap tabah. Tapi, tetapkah kita untuk yakin kepada Allah apabila diuji seperti itu.
Ya, kita perlu cari kekuatan.

Apabila menjadi seorang Da'i, orang akan berusaha mencari kelemahan dan kesilapan kita (Prof Muhaya). Jangan kisah akan pandangan manusia. Fokus pada penilaian Allah. Carilah kekuatan dari Allah.
Ya,kita perlu cari kekuatan
Jom. InsyaAllah

Jentayu: Selamat tapi jauh dari kemenangan

Saturday 24 August 2013

Jentayu terbang lagi...
Mencari hikmah di sebalik ciptaan Tuhannya, Tuhan kita semua,
Allah
Ghafar 
Rahim
Rahman...

Maka lirik mata jentayu terhenti sejenak pada kawanan kambing biri-biri..
Yang bulunya lebih putih bersih..
Malunya dengan diri yang penuh dengan daki..

Tanpa diduga, ada juga serigala yang memerhati dari jauh..
Memerhatikan seekor biri-biri yang diberi kandang istimewa untuk dirinnya seekor..
Dan sekawanan biri-biri yang terpaksa berkongsi semua benda..

Maka alkisah bermula


Peladang datang membawa makanan untuk biri-biri kesayanganNya. Disediakan makanan untuk biri-biri istimewa terlebih dahulu. Selepas itu, barulah makanan dibahagikan untuk sekawanan biri-biri itu. Biri-biri istimewa begitu senang mengunyah makanan tanpa perlu berebut. Kawanan biri-biri itu pula terpaksa berhmpit, bersesak, berebut untuk mendapatkan makanan yang tidak seberapa itu. Biri-biri istimewa merasakan diri begitu istimewa lantas mendabik dada dengan gahnya, 'anggun'nya.

Namun, jauh dari satu sudut, serigala bermata licik itu sudah mengagak keputusan yang diambil ialah yang paling bijak dan bernas. Lantas, langkahan derap pertama dibuka. Bermulalah langkah seribu untuk mengejar biri-biri yang merasakan dirinya istimewa itu. Lantas disambar, dimakan dimakan dengan lahapnya. Tamatlah riwayat biri-biri itu yang merasakan dirinya dalam kesenangan. Selamatlah kawanan biri-biri walaupun lumpur biri-biri lain mengotorkan lagi dirinnya itu.

Dimanakah jalan yang paling tepat untuk jentayu itu pilih...
Keliru...
Terus menngagah menempuh similir, angin, pawana rindu.

Bila nak menang

Tuesday 30 July 2013



Apa yang mungkin menjadi Jalan Kemenangan?

Kemenangan dalam kepayahan. Kemenangan dalam kesulitan. Dan begitulah juga dengan usaha dalam mencari kemenangan yang tersurat itu. Pasti banyak liku-liku, simpang-siur, yang kadang-kadang menggugat ‘keimanan’ pengembara itu. Kadan-kadang pengembara itu sendiri akan ragu-ragu dengan jalan kemenangan itu. Bukan setakat was-was malah hilang keyakinan. Mungkin? Simplistik untuk disebut dalam untaian kata namun sukar sekali untuk diterjemahkan dalam realiti.

Keyakinan bahawa mungkin ini jalan kemenangan 95%. Jawapan anda?


وَيُنَجِّي اللَّهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ [٣٩:٦١]
Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa karena kemenangan mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka cita (Azzumar, 39:61).

Apa yang mungkin menjadi realiti?

Pentas sandiwara Malaysia hari ini dikejutkan dengan PRK pertama di kawasan dewan undangan negeri N01 Kuala Besut. Apa yang menariknya, tarikh pengundian ditetapkan dalam bulan Ramadhan. Jalan yang dipilih dan dilalui sepanjang proses inikah yang dipanggil Jalan Kemenangan? PIhak yang menang ialah mereka yang dipilih Allah walaupun yang benar tidak semestinya menang. Allah mengetahui segala hikmah yang tersurat.

Sejarah?

Bulan Ramadhan dipersembahkan di atas pentas sejarah dengan berbagai kemenangan yang dikurniakan Allah kepada umat islam. Peristiwa perang Badar, ain jalut, pembukaan konstantinopel dan sebagainya yang berkenaan berlaku dalam bulan ini, membuktikan bahawa ini ialah bulan kemenangan. Kemenangan diberikan kepada pihak yang memperjuangkan Islam.

Tapi……

Kenapa kemenangan dalam bulan ramadhan dicerminkan hanya sebagai kejayaan melawan hawa nafsu yang negatif?

Menhidangkan makanan yang istimewa bertujuan untuk memuliakan bulan ramadhan. Saya setuju.

Tapi……
Kalau makanan istimewa itu penuh seluas mata memandang, inikah kemenangan melawan hawa nafsu?


Jadi, pada pendapat saya wajarlah jika pentas sejarah masa ini tidak lagi membawa plot kemenangan. Sejarah hanya tinggal dalam lipatan kulit buku yang makin lama menjadi kekuningan usang. Akhirnya berhabuk dimamah anai-anai.

Apa yang mungkin menjadi solusi?

Ubah cara berfikir?



Mungkinkah tepat jika dikatakan silapnya ialah kerana kita hanya meletakkan kemenangan bulan ramadhan hanya setakat kejayaan menahan nafsu keinginan untuk makan dan minum yang negatif. Misi kemenangan itu mungkin perlu lebih izhar, jelas.

Jika peristiwa penaklukan konstantinopel lantaran anugerah Allah kepada sebaik-baik pemerintah dan sebaik-baik tentera…..

jadi, berusahakah kita untuk menjadi pemuda seperti sultan al fateh itu?

Yang pasti, bukannya bermakna semua orang perlu menjadi beliau. Allah tidak menciptakan semua manusia untuk menjadi beliau bukan?

Orang kata, kemenangan bagi orang yang beriman ialah  dapat kembali ke syurga dan bertemu dengan Allah, tuhan kita. Dan jalan untuk kemenangan ini payah, penuh ujiannya. Ya, inilah kehidupan. Bukannya nama kehidupan jika tanpa ujian. Berusaha menjadi hamba yang bersyukur apabila Allah memilih kita untuk diuji.


Sekarang, insyaAllah kita baru setapak ke hadapan untuk berjaya. Alhamdulillah




Antologi?

Tuesday 25 June 2013


Bismillahirrahmanirrahim….

Terkilan sejenak semasa melihat filem Jackie Chan zaman 80-an dulu iaitu Wheels On Meals. Dalam babak perbualan dengan Sylvia, seorang gadis Sepanyol, dengan nada yang melankolik, Sylvia cuba membela dirinya yang dicop sebagai pencuri.
“Kalau diberikan peluang tiada manusia yang ingin membuat kerja jahat”, manik-manik putih mulai jatuh membasahi pipi.
Ustazah Fatimah Syarha pula dalam artikelnya turut menimbulkan satu persoalan antara baik dan jahat. Kalau ditanya apakah cita-cita setiap orang semasa kanak-kanak, mesti ada pelbagai jawapan.
“Saya nak jadi askar cikgu”.
“Saya nak jadi perdana menteri”.
“Saya nak jadi doktor”

Tapi tiada pula yang akan menjawab bahawa dia ingin menjadi  seorang pencuri, penyamun ataupun perasuah. Pelik bukan manusia? Dilahirkan dengan fitrah yang suci bersih, namun ada juga yang tercemar dengan habuk-habuk dan daki-daki syaitan. Bagaimana mereka memandang kehidupan ini?

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ [٦٧:٢]
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun, (Al-Mulk: 2)

Payah sebenarnya untuk menerima bahawa inilah kehidupan. Iaitu sebuah perjalan yang penuh dengan ujian yang bakal membersihkan atau mengotorkan lagi kita. Perjalanan yang bakal meningkatkan ukuran IPU batiniah mahupun sebaliknya. Semakin berjerebu ataupun semakin segar dunia batinmu. Ya. Inilah coretan sebuah perjalanan menuju akhirat yang kekal abadi.

Para embaca yang dikasihi Allah dan setiap hambaNya.
 Banyak sebenarnya, coretan perjalanan hidup saya yang terbuku untuk dikongsikan sebagai bahan tarbiah untuk kita semua. InsyaAllah, dengan pertolongan Allah saya akan berusaha. Saya tersenyum sendiri bila ada sahabat yang bertanya tentang nama ‘facebook’ yang agak pelik. Secara ringkasnya, saya mahu memandang kehidupan ini sebagai satu antologi yang bakal kita persembahkan kepada Allah di akhir hayat nanti. Ya. Sebuah antologi.

Antologi ini ialah catatan kehidupan sebagai seorang abdullah, khalifah, dai’.
Perjalanan ini terlalu indah bagi mereka yang berhati emas,
Kerana hati itu selalu memandang pada hikmah, kecantikan dan keindahan dalam setiap ketentuan Allah,
Hakikatnya itulah ‘bayang’ kehidupan yang kerapkali kabur di mata manusia
Meskipun bayang ialah pendamping setiap sesuatu,

Kita sentiasa melihat sesuatu objek itu ada bayangnya namun pernahkah kita memandang hikmah di sebalik setiap kejadian?


Kita melalui perjalanan kehidupan dengan membawa satu antologi yang bakal dipersembahkan kepada Allah kelak.
Perjalanan mengisi antologi ini pasti penuh dengan ujian,

Kita hanya mampu bersabar,
Terus bersabar,
Dan tetap bersabar,
Sebagai hamba, pohonlah kekuatan kesabaran itu daripada Allah.



Sudah agak lama saya tidak menulis artikel dari sidang editor. Sejak saya memulakan penulisan yang terhenti lama dalam blog ini, saya kerap menulis bingkisan-bingkisan untuk dimuatkan dalam antologi Jentayu saya sendiri. Maka terjawablah persoalan tentang penulisan yang asyik menyebut nama Jentayu. Saya sebenarnya tertarik dengan gaya penulisan Tuan Man Tuan Ibrahim yang kerap membawa cerita yang santai namun sarat dengan pengajaran yang insyaAllah menyentuh hati secara tidak sedar. Ayat terakhir beliau hanyalah senyum pada setiap penulisan. Malahan, saya sendiri senyum seorang diri setelah membaca artikel beliau. Atas nasihat Ustaz Amaluddin Mohd Napiah dalam buku beliau Syurga Merinduimu, saya amat terkilan dengan kata-kata beliau yang menyuruh kita berkongsi hidayah yang Allah anugerahkan kepada kita dengan orang lain. Jazakallhukhoiron ustaz. InsyaAllah saya akan istiqamah dalam penulisan blog ini.

YA! Hidayah perlu dikongsikan.


Drama jentayu

Wednesday 5 June 2013


Dunia jentayu kali ini ibarat pentas lakonan yang mungkin ada kena mengena dengan watak-watak manusia yang masih hidup ataupun sudah mati.

Tirai dinaikkan….
Perlu diingatkan bahawa jalan kehidupan mencari cahaya di akhir zaman ialah jalan hidup org asing (ghuraba)....

Kelihatan seekor jentayu sedang menunggu di tepi jalan kehidupan yang lurus yang mana destinasinya hanyalah kampung akhirat. Hanya jalan itu yang ada. Tidak ada jalan lain lagi di bumi bertuah kelahiran jentayu ini. Namun jentayu berjenama ghuraba itu tetap setia menunggu kehadiran teksi untuk dimudik, dipandu, ataupun dikayuh. Aneh sekali kerana jentayu-jentayu memerlukan kenderaan waima dilahirkan dengan kudrat dari sayapnya yang kental menempuh pawana kencang di angkasa biru yang melangit tinggi.

Perlu diigatkan sekali lagi bahawa ini pentas jentayu berjenama ghuraba

Satu demi satu teksi berlalu melintasi pandangan jentayu. Hanya teksi yang ada atas pentas kehidupan dalam perjalanan itu. Mahu tidak mahu, jentayu perlu berada atas pangkuan teksi agar perjalana ke kampung akhirat bertemu noktahnya. Tapi, acap kali jentayu menangguh perjalanan itu.

Tidak dibimbangi jika buku usianya bertemu ruas mautnya yang termaktub sudah pada qada qadar Allah. Itulah sikap jentayu itu

Tidak mahu berkorban untuk mendapatkan perkhidmatan teksi itu. Itulah perangai jentayu itu.

Sehingga perjalanan menuju kampung akhirat itu tiada kenderaannya, beribu sesalan mula menerjah. Mungkinkah jentayu itu kita?




Konsepnya mudah iaitu teksi itu umpama hidayah yang datang berkali-kali mengetuk pintu hati kita namun yang menyedihkan jarang antara kita yang sanggup berkorban untuk mendapatkan hidayah itu. Inilah analogi yang kerap dibawakan atas pentas kehidupan manusia. Namun kita sering sahaja bersikap seperti watak jentayu di atas. Bertangguh dan terus bertangguh untuk patuh akan hidayah yang telah diberikan.
Lemahkah jentayu itu?

Bukankah ia telah dikurniakan kekuatan mergastua oleh Allah?

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ [١٦:٣٠]
Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa(16:30)


Nota kaki: ana banyak bertangguh untuk melakukan perkara yang baik termasuklah menambah penulisan dalm blog ni. Beduk hati telah berkali-kali diketuk hidayah. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk sampai ke destinasi kampung akhirat. Perlu berkorban untuk membayar harga hidayah taufik dari Allah yang sememangnya mahal. Tiada kos lepas kerana kampung akhirat ialah prioriti dan bukannya barang kedua terbaik yang boleh dijadikan sebagi kos lepas(cikgu rokiah).




Jentayu terbang bersama awan

Monday 27 May 2013

Awan kerap berubah bentuk,
Acap kali juga berubah arah
Dihembus kiri
Maka kirilah arahnya,
Disapa similir kanan,
Lantas ke kanan ia berlalu,

Di manakah jentayu yang terbang tinggi di angkasa?
Gagahkah jentayu menempuh pawana2 kencang?
Lalu mata hati tunduk merenung diri,


[إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ [٤١:٣٠
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu"


Astaghfirullahalzim,

Pemuda-pemudi yang berjuang laksana jentayu,
Begitu banyak kudrat yang Allah kurniakan,
Namun adakah kita menjadi jentayu yang menongkah arus,
Atau terbang bersama awan.....
Awan bisikan syaitan yang menawan...

"Wahai anak muda, teruskan perjuangan selepas ini. Mungkin kemenangan bukan berlaku pada zaman saya, mungkin kemenangan berlaku pada zaman kamu semua, tetapi saya mengimpikan untuk melihat Islam menang pada zaman saya. Impian saya adalah untuk melihat Islam berdaulat." - sebak Ayah Cik, TG Hadi Awang. 


Lalu harus sekali bertanya si jentayu pada hatinya,
Benarkah aku pemuda pengisi kemenangan itu?

Wassini
Barakallahufikum